Monday, 25 June 2012

Bagaimana kita mengenal Allah S.W.T.

MENGETAHUI KEWUJUDAN ALLAH

Di pinggir sebuah bandar, seorang lelaki berbadan tegap merenung tajam lelaki tua yang berada di depannya.
“Wahai ulama. Katakan kepadaku, apakah benar Allah itu wujud?”
Dengan tenang, lelaki tua membuka bicara.
“Anak muda, lihat pokok itu. Dari mana asal pokok itu?”
“Mestilah dari benihnya.”
“Jika begitu, lihat pula dirimu. Dari mana asal dirimu?”
“Aku berasal dari ibubapa ku. Mereka melahirkan aku.”
“Maka, kau bersetuju jika aku katakan bahawa setiap yang ada di dunia ini ada asal-usulnya, ada penciptanya?”
“Ya. Aku setuju. Aku setuju bahawa setiap yang ada didunia punyai asal-usulnya dan penciptanya. Tapi, aku nyata masih ragu-ragu. Jika benar Allah itu wujud, mengapa kita tidak mampu melihat-Nya?”
‘Wahai anak muda, apa pegangan agamamu?”
“Aku seorang Nasrani. Aku yakin Isa itu anak Allah kerana dia boleh dilihat dan dia pernah wujud”.
“Anak muda, aku mahu bertanya. Adakah kamu setuju bahawa anak ayam akan menyerupai ibunya? Adakah kamu percaya, anak kambing akan menyerupai ibunya?”
“Pasti.”
“Lalu, bagaimana kamu boleh katakan Isa itu anak Tuhan, sedangkan Tuhan tidak mati dan Isa pula mati.”
“Jangan kamu cuba memutar belit. Kamu belum menjawap persoalanku lagi. Kamu orang islam, tak nampak Allah, tapi bagaimana kamu percaya ia wujud?”.
“Anakku. Bagaimana jika aku katakan bahawa bukan semua perkara boleh kita lihat, tapi kita tahu ia wujud. Lihat dirimu, apa kau mampu melihat otak yang berada dalam kepalamu? Apa kau mampu melihat jantung yang berada dalam badanmu? Bagaimana pula dengan udara. Apa kau mampu melihat udara? Tidak. Tapi kau tahu ia wujud. Allah juga begitu. Kita tak mampu melihat Allah, kerana itu kehendak-Nya. Allah tidak sama seperti makhluk. Jika kita mampu melihatnya, itu tanda bahawa kita hebat. Maka, Allah sengaja menyembunyikan wajah-Nya, supaya kita merasakan bahawa Dia hebat. Dia Berkuasa. Bahkan, Dia mampu berbuat apa saja. Seperkara, Allah itu tidak boleh dilihat di dunia kerana Dia hanya boleh dilihat oleh ahli syurga sahaja. Maka anak muda, jawab pertanyaanku tadi. Allah tidak mati, jadi mengapa Isa yang kau kata anak Tuhan boleh mati? ”
“Jika begitu, khabarkan kepadaku siapa ayah isa?”
“Penciptaan Isa itu sesungguhnya sama seperti penciptaan Adam. Manusia pertama di bumi. Allah Maha Kuasa. Dia mampu menjadi segala sesuata dengan kehendaknya. Maka, kerana itu Dia jadikan Isa, tanpa bapa.”
“Baiklah wahai ulama. Aku berpuas hati dengan jawapanmu. Tapi aku cuma ada satu persoalan sahaja lagi. Apa bukti Allah wujud?”
“Buktinya ialah dirimu.”
“maksudmu?”
“Jika Allah tiada, maka siapa yang menciptakan bumi ini?”
“Ia terjadi sendiri”
“Tadi kau setuju bahawa setiap yang wujud atas bumi ini ada penciptanya bukan? Maka, mustahil bumi ini boleh wujud dengan sendiri”
“Mengapa mustahil?”
“Kerana jika sesuatu itu boleh wujud dengan sendiri, pasti kau akan melihat bahawa manusia pasti tidak mampu membina rumah kerana setiap kali mereka menebang pokok, pokok itu akan tumbuh kembali. Kamu juga pasti tidak akan mampu makan, kerana setiap kali kamu menyembelih bianatang, pasti binatang itu akan kembali hidup kembali, tidak mati-mati. Kamu juga pasti tidak mampu untuk berjalan kemari untuk bertemu denganku, kerana sekali kau melangkah, kamu pasti akan terjatuh kerana permukaan bumi yang sentiasa boleh berubah-ubah sesuka hati. Kamu juga akan dapati bahawa ada hari yang ada siang, dan ada hari yang ada malam. Siang dan malam boleh berlaku, dan boleh tidak berlaku. Sesukahati. Kamu juga akan mendapati bahawa hujan boleh turun selama 1 tahun tanpa henti. Semua bolah berlaku jika kamu kata alam ini tiada kuasa yang mengawal. Tapi, segala yang berada atas muka bumi ini sangat teratur. Sempurna. Bukankah ini tanda bahawa ada satu kuasa yang mencipta, mengurus dan mentadbir alam ini?”
“Ya. Tidak dinafikan. Tuhan lah yang mentadbir alam ini”
“Jadi pada perkiraanmu, adakah tuhan itu mati atau Tuhan Yang Maha Hidup?”
Senyap..
“Bagaimana, adakah Tuhan yang mati menguruskan alam ini, atau Tuhan yang Maha Berkuasa?”, ulama itu mengulangi pertanyaan. Raut wajahnya tetap tenang kerana dia pasti bahawa pemuda itu sudah faham.
Lalu, dengan perlahan pemuda itu menjawab, “Tuhan yang tidak mati”
Lalu dia bangkit, “Ketahuilah wahai ulama. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah”.

Dari kitab Tauhid Abdul Majid Aziz Az-Zindani

Bagaimanakah Kita Mengenal Allah?

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.

Para pengunjung yang dikasihi,
Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^

Insya Allah, dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang satu topik yang sangat penting, iaitu bagaimanakah kita mengenal Allah SWT? 

Ramai orang cuba mencari tuhan, namun tidak semua yang bertemu dengan Tuhan yang sebenarnya. Oleh itu, mari kita lihat bagaimanakah kaedah sebenar untuk mengenal-Nya.

Bagaimana Kita Tahu Allah SWT itu Wujud?

Cuba kita perhatikan beberapa situasi di bawah ini:

1. Sebuah kereta bergerak di jalanraya dari tempat yang jauh dan bengkang bengkok tanpa tersasar. Tentu kita percaya dan yakin bahawa ada pemandu yang menggerakkannya.

2. Kapal terbang yang terbang di langit dan tiba destinasi dengan selemat. Tentu kita percaya dan yakin pasti ada juruterbang yang menerbangkannya.

Soalan: Bagaimana kita begitu yakin bahawa kereta dan kapal terbang itu mempunyai pemandu dan juruterbang?
Daripada analogi di atas, mari kita fikirkan bersama:

1. Matahari, bulan, bintang dan planet bergerak di orbit masing-masing tanpa berlaku pelanggaran.
2. Malam dan siang silih berganti bertukar tanpa mendahului antara satu sama lainnya.
3. Alam ini dipenuhi makhluk hidup yang sentiasa membiak secara seimbang.
4. Bukankah itu adalah bukti wujudnya suatu Kekuasaan yang mengatur segala yang berlaku, iaitu Allah SWT!

Apa akan jadi jika Kekuasaan ini tiada?


1. Matahari, bulan, bintang dan planet akan berhenti bergerak atau berlanggar antara satu sama lain.
2. Siang dan malam berhenti dari bergilir dengan teratur.
3. Semua makhluk akan hancur binasa, ekosistem akan rosak.
4. Jika Pencipta makhluk tiada, sudah tentu makhluk pun tidak wujud!

Firman Allah SWT:

"Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatu pun ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)? Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu? sebenarnya mereka tidak meyakini (apa yang mereka katakan)." (At-Thur 52: 35-36)

Bagaimanakah Kita Mengetahui Sifat-sifat Allah?

Analogi Kereta: Dengan berfikir tentang penciptaan sebuah kereta, kita akan dapati:

1. Badan daripada besi: Pembuatnya mesti miliki besi dan mampu membentuknya menjadi kereta.
2. Cermin daripada kaca: Pembuatnya mesti miliki kaca dan mampu membentuknya menjadi cermin tingkap dan lampu.

Pembuat kereta itu juga pasti memiliki:

1. Dawai atau wayar untuk salurkan elektrik.
2. Kepakaran untuk membuat setiap komponen kereta.
3. Teknologi kejuruteraan automotif.
4. Kehendak untuk menghasilkan sebuah kereta berdasarkan bahan yang ada padanya.

Daripada analogi di atas, cuba kita lihat pula pada penciptaan sekalian makhluk di muka bumi ini. Dengan berfikir dan merenung hakikat penciptaan makhluk, kita akan dapati:

1. Hikmah pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Bijaksana (Al-Hakim).
2. Kepakaran pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (Al-Khabir).
3. Kekuatan pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Perkasa (Al-Qawiy).
4. Kecantikan pada setiap Makhluk:  Bukti Allah Maha Membentuk Rupa lagi Cantik Ciptaan-Nya (Al-Musawwar Al-Badi').
5. Petunjuk pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Memberi Petunjuk (Al-Hadi).
6. Kehidupan pada kebanyakan Makhluk: Bukti Allah Maha Menghidupkan (Al-Muhyi).
7. Pengetahuan pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Mengetahui (Al-'Alim).
8. Pemeliharaan pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Memelihara (Al-Hafiz).
9. Pengurusan rezeki pada setiap Makhluk: Bukti Allah Maha Memberi Rezeki (Al-Razzaq).
10. Sistem yang Bersepadu dan Konsisten pada setiap Makhluk: Bukti ciptaan Allah Maha Esa (Al-Wahid).

Maka, benarlah seperti firman Allah SWT:

"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang-binatang yang melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini." (Al-Jaatsiyah 45: 3-4)

Ajaran Para Rasul-Nya.

Dengan berfikir tentang ciptaan Allah sahaja, kita masih belum mampu ketahui semua sifat-sifat Allah SWT.

Melihat pada sebuah kereta, kita belum tahu semua sifat pemiliknya. Adakah dia seorang pemurah atau bakhil? Tinggi atau rendah? Baik atau jahat?

Oleh itu, melalui perantaraan para Rasul, Allah SWT mengajarkan manusia tentang hakikat sebenar diri-Nya.

Firman Allah SWT:

"Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." (Al-Baqarah 2:255)

Wallahu a'lam. Insya Allah, di entri akan datang kita akan melihat dengan lebih lanjut bagaimana mengenali Allah SWT melalui tadabbur terhadap makhluk-makhluk-Nya.

Semoga bermanfaat!

No comments:

Post a Comment